Diaspora
merupakan istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada penduduk, kaum
atau etnik yang terpaksa atau terdorong untuk meninggalkan negara asal mereka
dan menetap di pelbagai negara di seluruh dunia atas sebab tertentu. Isu
diaspora merupakan isu global yang sering menjadi topik perbincangan dan kajian
para sarjana dan tokoh-tokoh pemikir masa kini. Faktor seperti kolonialisme,
imperialisme, ekonomi dan agama adalah antara beberapa faktor yang menyumbang
kepada kewujudan kelompok dispora ini. Penyebaran kelompok diaspora di seluruh pelosok
dunia telah memunculkan beragam perkembangan kesan daripada aktiviti mereka
sehingga melahirkan kebudayaan atau peradaban baru.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diaspora bermaksud
penyebaran ke merata-rata tempat. Ia merujuk kepada individu atau kelompok
manusia yang pada asalnya tergolong dalam budaya yang sama telah tersebar di
merata-rata tempat lain. Pada mulanya istilah diaspora digunakan
secara kolektif kepada
bangsa Yahudi yang bertaburan di pelbagai pelosok dunia selepas
penawanan kota Babylon oleh Raja Nebuchadnezzar II. Namun kini telah diperluaskan
penggunaannya termasuk kepada mana-mana kumpulan imigran yang semakin ramai di seluruh dunia (John
Scott & Gordon Marshall 2005).
Diaspora melibatkan pergerakan masyarakat yang berlaku
sejak dahulu lagi dalam sejarah perkembangan manusia iaitu semasa manusia
melakukan aktiviti memburu dan mengumpul hinggalah kepada kegiatan berpindah
randah. Kejadian-kejadian seperti bencana alam, peperangan, penguasaan wilayah
oleh komuniti-komuniti lain ke atas komuniti lain serta perubahan cuaca adalah antara
beberapa faktor yang menyebabkan orang berpindah-randah. Fenomena ini juga
dipanggil sebagai migrasi. Pada awalnya diaspora ini berlaku adalah kerana
terpaksa seperti yang terjadi pada kaum Yahudi yang dihalau dari Timur Tengah,
perdagangan hamba Afrika Trans-Atlantik dan individu yang menjadi buangan
politik. Namun, sejajar dengan perkembangan semasa, diaspora bukan lagi kerana terpaksa tetapi
atas sebab-sebab tertentu seperti keinginan untuk menetap di negara empat musim
atau mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik hingga menarik minat kelompok
diaspora ini untuk keluar daripada negara asal mereka.
Dari perspektif antropologi dan sosiologi, konsep diaspora tidak hanya
pada penyebaran identiti kelompok etnik atau bangsa malah merangkumi cara hidup,
budaya, agama dan bahasa sesuatu mereka. Seseorang individu atau kelompok
diaspora itu akan mengamalkan budaya dan cara hidup mereka yang di bawa dari
tempat asal (homeland) serta cuba
mengekalkan hingga ke generasi mereka yang seterusnya. Sebagai contoh, komuniti
Cina di Malaysia merupakan kelompok diaspora daripada Tanah Besar China yang
masih mempunyai identiti etnik Cina serta mengamalkan budaya dan bahasa asal
mereka. Begitu juga dengan kaum India yang mana mereka juga merupakan kelompok diaspora
yang datang dari India yang masih mengamalkan cara hidup dan budaya
masing-masing.
Kelompok diaspora boleh dikenali
melalui aktiviti-aktiviti serta amalan mereka dari segi budaya, bahasa, agama,
sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain lagi. Ini kerana
individu-individu diaspora biasanya gemar melakukan aktiviti bersama yang
membolehkan mereka dikenali atau tergolong dalam sesebuah komuniti diaspora.
Walaubagaimanapun, sesetengah diaspora hanya terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang
melibatkan rakan sekampung atau keluarga sahaja. Manakala yang lain menumpukan
kepada hal-hal seperti kegiatan keagamaan, pendidikan dan ekonomi (Hanafi Husin
2008).
Konsep diaspora juga turut dikaitkan dengan pembentukan negara bangsa. Ini
dapat dilihat di sesetengah negara seperti Indonesia yang berjaya mewujudkan
negara bangsa walaupun menerima kesan daripada diaspora. Konsep diaspora kini mempunyai makna yang lebih luas kini. Ini kerana ianya tidak hanya merujuk kepada sesuatu kelompok kaum sahaja malah maknanya lebih daripada itu.