Mar 10, 2011

PETUA DI DAPUR

Assalamua’laikum w.b.t

Saya telah lama berhasrat untuk mengumpulkan semua petua-petua yang saya perolehi dan amalkan untuk dikongsi bersama. Memandangkan pada masa kini ramai yang kurang mengetahui bahawa banyak barang-barang yang berada di dapur kita boleh digunakan untuk kesihatan dan kecantikan. Malah ianya boleh digunakan sebagai penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi saban hari. Kita tidak perlu banyak berbelanja sekiranya kita tahu memanfaatkan benda-benda yang sedia ada di rumah kita.

Oleh yang demikian di sini saya menyenaraikan beberapa petua yang boleh dikongsi bersama. Ada sesetengah petua yang dicatatkan di sini telah saya amalkan dan terbukti berkesan dan ada sesetengahnya pula saya perolehi sekadar untuk berkongsi dengan semua. Semua petua-petua yang saya senaraikan saya perolehi daripada ibu, keluarga, rakan-rakan dan bahan bacaan.

Saya berharap petua-petua yang saya sediakan ini memberi manfaat kepada semua. Insyaallah

 

1. HALAU LALAT

PETUA 1 : Ambil secekak daun kari dan kibaskan pada lalat kemudian isikan air dalam gelas dan letakkan daun kari tersebut di gelas berisi air tersebut dan letakkan di atas meja.

PETUA 2 : Ambil lilin yang telah dipasangkan api dan letakkan di tempat makan atau di atas meja.


2. HILANGKAN HANYIR IKAN AIR TAWAR

PETUA 1 :  Ambil sedikit pucuk gajus kemudian ramas-ramaskan hingga keluar airnya dan lumurkan ke seluruh ikan tersebut. Biarkan beberapa minit sebelum dibilas dengan air bersih.

3. MENAJAMKAN GUNTING

PETUA 1 : Ambil beberapa helai daun serai dan gunting-guntingkan daun serai tersebut dengan gunting yang ingin ditajamkan. Ulang beberapa kali hingga ia tajam.

4. SUPAYA KUALI TIDAK MELEKAT

PETUA 1 : Ambil secawan garam yang dicampur dengan beberapa keping asam gelugor. Panaskan kuali dan masukkan garam dan asam tersebut. Biar sehingga keemasan. Padamkan api dan biarkan sejuk kemudian keluarkan ia daripada kuali. Sapu kuali tadi dengan minyak hingga rata.

5. MENGHAPUSKAN LENDIR DAN BAU HANYIR IKAN PARI

PETUA 1 : Rendamkan ikan pari dengan air kapur selama lebih kurang 15 minit. Kemudian bersihkan dan boleh terus dimasak.

6. APAM TIDAK MELEKAT PADA BEKAS

PETUA 1 : Sebelum memasak goreng telur ayam dalam kukus. Minyak bekas menggoreng telur tadi bolehlah digunakan untuk disapu pada bekas pengukus sebelum digunakan untuk mengukus apam.

7. MENGELAK KEMBUNG PERUT

Semasa memasak gulai nangka muda campurkan beberapa biji lada hitam ke dalam gulai tersebut.