Aug 28, 2012

PUTERI EXORA PANDORA BIRU

Beratus tahun yang lalu terdapat sebuah negara bernama Pandora Biru. Negara yang indah lagi permai ini terletak di pingir kawasan pergunungan. Pandora biru diperintah oleh seorang raja yang adil lagi saksama bernama Raja Kabasya. Raja Kabasya merupakan seorang raja yang sangat disayangi rakyat. Sikapnya yang adil dan saksama amat disenangi oleh sekelian rakyat jelata. Raja Kabasya mempunyai seorang pemaisuri yang sangat jelita bernama Puteri Bahiya. Namun begitu, walaupun telah bertahun-tahun mereka berkahwin mereka belum dikurniakan cahaya mata. Mereka berasa amat dukacita. Perkara inilah yang selalu merunsingkan Raja Kabasya sehinggalah ada suatu malam Raja Kabasya meluahkankan rasa hatinya kepada permaisurinya yang tercinta.
“Wahai adinda, fikiran kanda runsing memikirkan masa depan Pandora Biru ini. Kita belum dikurniakan cahaya mata. Walaupun telah berpuluh-puluh bomoh, pawang dan ahli nujum yang kita jumpa namun masih belum berhasil.” Hati Raja Kabasya runsing memikirkan bakal pewaris takhta kerajaannnya itu.
“Sabarlah kanda, kita telah berusaha hanya tuhan yang menentukannya. Mungkin belum ada rezeki kita lagi. Kita berdoa sajalah wahai kanda” Pujuk Puteri Bahiya.
Pada suatu hari ketika Raja Kabasya berjalan-jalan berseorangan di taman istana tiba-tiba baginda ternampak kepulan asap putih di sebalik pohon beringin. Baginda berasa hairan bagaimana dengan tiba-tiba pula ada asap boleh muncul di situ. Baginda mendekati pohon tersebut untuk melihat apa yang berlaku di sebaliknya. Apabila sampai sahaja di pohon beringin tersebut dengan tiba-tiba saja kepulan asap tersebut hilang.
“Sungguh aneh! Dari mana datangnya kepulan asap itu tadi. Tiada pula tanda-tanda kebakaran berlaku di sini. Ahh..mungkin khayalannya beta agaknya”. Bisik Raja Kabasya di dalam hatinya.
Dengan tiba-tiba baginda berasa sangat mengantuk dan terus tertidur di bawah pohon beringin itu. Baginda telah bermimpi berjumpa dengan seorang perempuan yang sangat tua. Wajahnya tenang, berambut putih mencecah lantai, memakai jubah serba putih dan berbau sangat harum. Dia mendekati Raja Kabsya dan berkata “Ampun tuanku, nama patik Nenek Kebayan. Patik tahu hati tuanku runsing memikirkan pewaris takhta Pandora Biru. Patik datang untuk memberi khabar buat tuanku.”......BERSAMBUNG

No comments: